Yamaha Exciter 155 VVA 2022 di pasaran Vietnam terima kemaskini warna baharu yang lebih sporty dan segar

Yamaha Motor Vietnam hari ini memperkenalkan Yamaha Exciter 155 VVA 2022, yang kini telah menerima kemaskini warna baharu yang lebih sporty dan segar. Pilihan warna baharu itu merupakan susulan kepada pilihan warna terbaharu dalam edisi Master Art of Street dan Yellow Gray, yang diperkenalkan pada September dan Jun yang lepas.

Yamaha Exciter 155 VVA 2022 masih lagi kekal dalam tiga varian seperti model tahun 2021, iaitu varian teratas GP Version, dan diikuti oleh varian Premium Version dan juga Standard Version. Untuk varian GP Version, ianya kekal dengan pilihan warna tunggal biru, manakala varian Premium dan Standard mempunyai tiga pilihan warna serupa.

Selain daripada perubahan warna baharu, Yamaha Exciter 155 VVA 2022 mengekalkan aspek teknikal yang sama, dan semestinya masih terlalu awal untuk sebarang naik taraf yang signifikan. Mungkin pada masa akan datang, Yamaha Exciter 155 VVA dan juga Yamaha Y16ZR akan dilengkapi sistem brek ABS untuk tahap keselamatan lebih baik.

Kita imbas kembali spesifikasi dan ciri-ciri menarik pada model yang sangat popular ini, antaranya enjin 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled) dengan teknologi VVA, transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dan kuasa maksimum yang mencapai paras 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 14.4Nm @ 8,000rpm.

Selain itu ialah lampu depan dan belakang LED, lampu DRL, panel meter digital LCD, suis pemati enjin dan suis lampu untuk memotong (passing light). Untuk varian GP dan Premium, spesifikasi tambahan yang ditawarkan ialah brek cakera depan dua piston, Smart Key yang canggih dan soket pengecas 12V untuk mengecas telefon dan gajet.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y16ZR 2021 baru-baru ini telah didatangkan dalam skim pilihan warna istimewa lagi eksklusif iaitu Doxou Edition, dan hanya didatangkan dalam jumlah terhad 5,000 unit sahaja. Harga jualan asasnya ditetapkan sebanyak RM 11,688.00, namun harga sebenar di kedai kini menjangkau sehingga RM 14,500.00.

Senarai harga Yamaha Exciter 155 VVA 2022 di pasaran Vietnam :

  • GP Version : VND 50,790,000 (RM 9,290.18)
  • Premium Version : VND 50,290,000 (RM 9,198.72)
  • Standard Version : VND 47,290,000 (RM 8,649.98)

Galeri : 2022 Yamaha Exciter 155 VVA GP Version

Galeri : 2022 Yamaha Exciter 155 VVA Premium Version

Galeri : 2022 Yamaha Exciter 155 VVA Standard Version