Khabar angin pelancaran Kawasaki Z250 dengan enjin 250cc empat silinder pada tahun depan

Sejak pelancaran model sport bike Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 pada Julai 2020 yang lepas, ramai peminat motosikal yang bertanyakan sama ada versi naked model tersebut akan turut dilancarkan. Jika model yang dimaksudkan itu akan menjadi realiti, bermakna besar kemungkinan ianya ialah Kawasaki Z250 dengan enjin 250cc empat silinder.

Dari segi reka bentuknya, Kawasaki Z250 versi 250cc empat silinder itu mungkin akan tampil sama seperti model Kawasaki Z250 2022, yang dikuasakan enjin 250cc dengan dua silinder. Contohnya adalah seperti paparan gambar di atas, berdasarkan imaginasi rekaan komputer yang dihasilkan oleh laman web Autoby.jp yang berasal dari Jepun.

Namun menurut jangkaan awal yang lain, Kawasaki Z250 versi 250cc empat silinder itu akan dibangunkan daripada model Kawasaki Ninja ZX-25R sepenuhnya. Caranya ialah dengan merombak semula bahagian fairing, lampu depan, handlebar dan beberapa ciri yang lain, untuk menjadikannya sebuah jentera naked sebenar yang tampil agresif.

Berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai, hampir pasti pada ketika ini Kawasaki sedang membangunkan model Kawasaki Z250 dengan enjin 250cc empat silinder, sebagai kembar sebenar untuk model Ninja ZX-25R. Pelancaran rasmi model itu pula dijangkakan bakal berlangsung pada tahun 2022 akan datang.

Apabila ianya dilancarkan nanti, dengan pelancaran pertama dijangkakan berlangsung di pasaran Indonesia, adakah pasaran Malaysia akan turut menerima kehadiran model naked 250cc dengan enjin empat silinder itu? Agak sukar untuk meletakkan harapan yang terlalu awal, kerana penantian untuk Ninja ZX-25R sehingga kini belum berakhir.

Galeri : 2022 Kawasaki Z250 (Japan)