Zontes ZT155U 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, Fun Naked bergaya sporty, harga asas RM 10,800.00

Zontes Malaysia pada kelmarin dengan rasminya telah melancarkan sebuah model Fun Naked terbaharu Zontes ZT155U 2021 untuk pasaran tempatan, dalam dua skim pilihan warna menarik iaitu Red dan Purple. Harga jualan asasnya pula adalah berpatutan, iaitu sebanyak RM 10,800.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Dari segi penampilan, Zontes ZT155U mengingatkan kita semua terhadap model naked Yamaha M-Slaz, yang sehingga kini belum pernah dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Jadi kehadiran Zontes ZT155U ini mungkin boleh menjadi pengganti yang hampir sama, tambahan pula ianya dikuasakan enjin bersesaran 155cc yang patuh piawaian Euro 5.

Enjin empat lejang dengan satu silinder DOHC itu digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 18.8hp @ 9,250rpm dengan tork 16Nm @ 7,500rpm. Enjin itu turut dilengkapi sistem suntikan bahan api BOSCH EFI yang cekap, dan mampu memberikan jarak perjalanan antara 40 sehingga 45+ km untuk setiap liter petrol. Tangki bahan api yang dibekalkan pula mempunyai kapasiti maksimum 12.5 liter.

Zontes ZT155U seterusnya dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri menarik, menjadikannya salah sebuah model motosikal canggih yang dijual pada harga mampu milik. Antaranya ialah sistem Assist & Slipper Clutch, dua mod tunggangan E (Eco) dan S (Sport), fork depan USD, suspensi belakang monoshock dengan gas nitrogen, forged hand guard, rear fender, dan sistem brek cakera dengan BOSCH ABS Dual Channel.

Melengkapkan lagi spesifikasinya ialah panel meter digital, sistem lampu LED, keyless, electronic fuel tank cover, dan juga dwi port pengecasan pantas USB. Tayar depan dan belakang model Fun Naked itu masing-masing berukuran 110/70-R17 dan 130/70-R17, dengan ketinggian tempat duduk 830 mm dan berat hanya 117 kg sahaja (kerb weight).