Lesen B2 kekal untuk motosikal 250cc, JPJ nafi maklumat tular kelas lesen B2 kini dinaikkan kepada 500cc

Baru-baru ini telah timbul isu hangat kononnya pemilik kelas lesen B2 di negara kita kini sudah boleh menunggang motosikal sehingga tidak melebihi 500cc. Sebelum ini kelas lesen B2 hanya membenarkan pemiliknya menunggang motosikal dalam sesaran enjin yang tidak melebihi 250cc, dan ternyata peraturan tersebut masih kekal sehingga kini.

Perkara tersebut telah pun disahkan sendiri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), melalui hantaran yang disiarkan di dalam laman Facebook rasmi mereka seperti berikut, bertarikh 11hb. Disember 2021 :

[PERATURAN SEMASA KELAS LESEN MEMANDU]
Putrajaya, 11 Disember 2021 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia ingin menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan terhadap Kelas Lesen Memandu sedia ada, ketika ini.

Hal ini berikutan setelah timbul kekeliruan yang dimuatnaik oleh blogger EbidMotor.com, yang menyatakan bahawa Kelas Lesen Memandu B2 telah dinaikkan daripada 250cc kepada 500cc. Sehingga kini penetapan Kelas Lesen Memandu B2 masih kekal sebagai Motosikal Tidak Melebihi 250cc.

Jabatan ini memandang serius perkara ini dan menyeru kepada orang ramai agar merujuk ke laman web dan media sosial rasmi JPJ sebelum mempercayai sebarang info yang tular.

Sumber : Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia FB

Dengan pengumuman tersebut, bermakna pemilik kelas lesen B2 yang mahu memiliki dan menunggang motosikal dengan sesaran enjin melebihi 250cc, masih perlu untuk kembali ke sekolah memandu untuk menaik taraf lesen, sama ada untuk kelas lesen B1 (untuk motosikal tidak melebihi 500cc) atau B (untuk motosikal yang melebihi 500cc).

Bagaimanapun sejak beberapa tahun yang lalu, semakin ramai peminat motosikal yang memiliki kelas lesen B2 mahu pihak kerajaan dan JPJ untuk melonggarkan peraturan sedia ada, agar had sesaran enjin motosikal untuk lesen B2 dinaikkan sehingga 500cc. Setakat ini tidak pasti sejauh manakah reaksi pihak kerajaan terhadap permintaan itu.

Mungkin perkara ini perlu disuarakan secara lebih serius oleh pelbagai pihak, seperti mana isu penggunaan cermin gelap pada kenderaan penumpang sebelum ini. Namun pakar-pakar keselamatan jalan raya mungkin tidak bersetuju, kerana motosikal dengan enjin melebihi 250cc adalah lebih berkuasa, dan ‘skill’ penunggang perlu diuji semula.