Di pasaran luar negara, Benelli menawarkan sebuah jentera naked sporty iaitu Benelli TNT 25N 2021. Penampilannya mirip model popular Yamaha MT-25, termasuklah enjin dalam sesaran yang sama iaitu 250cc. Pastinya sangat menarik jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia, dan persoalannya mampukah ianya mencabar Yamaha MT-25?
Benelli TNT 25N dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 249cc (liquid cooled, single cylinder, four valve, DOHC) dengan sistem suntikan bahan api EFI, yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkannya mencapai paras 25.5hp @ 9,250rpm, dengan tork maksimum 21.2Nm @ 8,000rpm.
Spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi Benelli TNT 25N antaranya seperti kapasiti tangki bahan api 13.5 liter, fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan 260 mm dan belakang 240 mm dengan kaliper dua piston, sistem lampu LED, panel meter digital, ketinggian tempat duduk 780 mm, dan berat kosong 155 kg.
Di bahagian roda, Benelli TNT 25N menggunakan tayar depan dalam siri 100/80-17 dan tayar belakang dalam siri 130/70-17. Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada ianya akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia. Dengan enjin 250cc yang mesra pemegang lesen B2 dan harga yang berpatutan, pasti ramai yang meminati Benelli TNT 25N ini.