Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 di pasaran Indonesia, dua varian Standard dan SE, kelajuan maksimum 197 km/j

Model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 secara rasminya telah pun dilancarkan di pasaran Indonesia, pada tarikh 10hb. Julai 2020 baru-baru ini. Model tersebut didatangkan dalam pilihan dua varian iaitu Standard dan Special Edition (SE).

Varian Standard hanya ditawarkan warna tunggal Metallic Spark Black, manakala varian SE boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Lime Green / Ebony, Metallic Spark Black / Pearl Flat Stardust White dan Candy Plasma Blue / Metallic Spark Black.

Harga jualan yang ditetapkan untuk varian Standard adalah sebanyak Rp. 96,000,000 (bersamaan RM 28,071.67 mengikut kadar semasa), sementara varian SE berharga sebanyak Rp. 112,900,00 (bersamaan RM 33,013.45 mengikut kadar semasa).

Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 249.8cc dengan teknologi empat silinder sebaris (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves), yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai paras 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air), dengan tork puncak 22.9Nm @ 14,500rpm. Menurut Kawasaki, kelajuan maksimum model tersebut ialah 197 km/j.

Sebagai sebuah model premium dalam kelas 250cc, Kawasaki Ninja ZX-25R dilengkapi teknologi canggih seperti sistem Assist & Slipper Clutch, KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System dan Electronic Throttle Valves.

Bagi model SE, teknologi tambahan yang melengkapinya ialah sistem brek ABS, KQS (Kawasaki Quick Shifter – berfungsi di atas 2,500rpm), di samping ciri-ciri tersendiri seperti Pillion Seat Cover, Smoked Windshield, Frame Slider dan Wheel Rim Tape.

Lebih dari itu, Kawasaki Ninja ZX-25R dibangunkan di atas kerangka trellis serba baharu yang kukuh, dilengkapi fork depan USD dengan diameter 37 mm menggunakan teknologi SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), dan didatangkan suspensi belakang monoshock Horizontal Back-Link dengan ciri pelarasan prabeban.

Untuk prestasi pemberhentian maksimum yang lebih cekap, sistem brek didatangkan cakera depan tunggal dengan diameter besar 310 mm menggunakan “radial-mount monobloc caliper”, dan sistem brek belakang dengan cakera berdiameter 220 mm.

Kawasaki Ninja ZX-25R turut dibekalkan panel instrumen canggih yang berinformasi, sistem kunci immobiliser untuk mencegah kecurian, lampu depan LED jenis berkembar, rekaan silencer sistem ekzos yang pendek dan kapasiti tangki bahan api 15 liter. Berat motosikal bagi varian Standard ialah 180 kg dan varian SE mempunyai berat 182 kg.

Akhir sekali, roda depan mempunyai ukuran 110/70R17M/C (54H) dan roda belakang hadir dengan ukuran 150/60R17M/C (66H). Setakat ini, Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 juga telah dilancarkan di pasaran Thailand pada tarikh 14hb. Julai 2020 yang lalu.

Galeri : 2021 Kawasaki Ninja ZX-25R Standard 

Galeri : 2021 Kawasaki Ninja ZX-25R SE (Special Edition)

(Visited 1,864 times, 1 visits today)