Model touring kelas pertengahan Kawasaki Versys 650 2022 versi terbaharu baru saja diperkenalkan, kini tampil berwajah baharu mirip model yang lebih besar iaitu Kawasaki Versys 1000. Untuk melihat perbezaan yang lebih jelas di antara Versys 650 2022 dan model sebelumnya Versys 650 2021, anda boleh melihatnya dalam galeri di bawah.
Selain itu, Kawasaki Versys 650 2022 juga kini telah menerima naik taraf baharu berupa skrin penghadang angin dengan empat tahap pelarasan manual, untuk kelesesaan dan tahap perlindungan yang lebih baik. KTRC (Kawasaki Traction Control) juga merupakan ciri terbaharu, hadir dengan dua pilihan mod dan juga boleh dimatikan sepenuhnya.
Ciri terbaharu seterusnya yang diperkenalkan untuk Versys 650 2022 ialah panel meter digital sepenuhnya, dengan paparan TFT berukuran 4.3 inci. Panel meter baharu itu kini menawarkan ciri-ciri tambahan yang sebelum ini tiada pada model generasi tahun 2021, termasuklah sistem sambungan Bluetooth ke telefon pintar (smartphone connectivity). Tidak dilupakan ialah lampu depan Versys 650 2022 kini merupakan LED sepenuhnya.
Beralih ke bahagian penjana kuasa, Kawasaki Versys 650 2022 masih dikuasakan enjin yang sama, iaitu dalam sesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan kuasa maksimum 67PS @ 8,500rpm dan tork 61Nm @ 7,000rpm. Enjin yang berprestasi itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan upside down, dan digandingkan dengan suspensi belakang monoshock (with remote spring preload adjustability). Untuk tahap keselamatan maksimum, Kawasaki Versys 650 2022 dilengkapi dua brek cakera depan 300 mm dengan kaliper dua piston, bersama-sama cakera belakang tunggal 250 mm.
Spesifikasi standard lain yang melengkapi model touring berkenaan ialah kapasiti tangki bahan api 21 liter, ketinggian tempat duduk 845 mm, jarak kelegaan bumi 170 mm, roda depan dan belakang dalam siri 120/70-R17 dan 160/60-R17 masing-masing, dan berat 219 kg (curb mass). Akhir sekali, ianya didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik.
Galeri : 2022 Kawasaki Versys 650
Galeri : 2021 Kawasaki Versys 650