Yamaha YZF-R15 Version 4.0 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga jualan bermula dari RM 11,398.13

Yamaha di pasaran Indonesia pada hari ini dengan rasminya melancarkan model sport bike Yamaha YZF-R15 Version 4.0 (V4) 2021 serba baharu. Model tersebut sebelum ini dilancarkan buat pertama kalinya di pasaran India, dan kini pasaran Indonesia menjadi negara kedua yang menerima kedatangan model dengan pelbagai ciri canggih itu.

Untuk pasaran Indonesia, Yamaha YZF-R15 V4 ini ditawarkan dalam tiga pilihan varian iaitu Yamaha YZF-R15 Connected, Yamaha YZF-R15M Connected – ABS, dan Yamaha YZF-R15M Connected – ABS World Grand Prix 60th Anniversary. Ketiga-tiga model itu dikuasakan enjin bersesaran 155.09cc (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA).

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 19hp @ 10,000rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm. Tangki bahan api yang dibekalkan mempunyai kapasiti penuh 11 liter, dengan berat isi masing-masing mencapai 137 kg untuk varian YZF-R15 dan 140 kg untuk varian YZF-R15M.

Beralih ke bahagian reka bentuk dan penampilannya, Yamaha YZF-R15 dan juga model Yamaha YZF-R15M, kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu mirip model Yamaha YZF-R1 yang lebih aerodinamik. Lebih dari itu, jentera sport serba baharu itu dilengkapi lampu depan LED tunggal yang diapit oleh sepasang lampu posisi LED yang agresif.

Bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan spesifikasi di antara ketiga-tiga varian itu, di mana untuk varian YZF-R15M dan YZF-R15M WGP 60th, kedua-duanya didatangkan Quick Shifter, Traction Control System (TCS), ABS Dual Channel, YZR-M1 Styled Triple Clamp, YZR-R1 Styled Full Digital Speedometer, Big Bike Engine Switch Off, dan juga tempat duduk yang tampil dengan motif karbon istimewa (Special Seat Carbon Motifs).

Ciri-ciri standard lain yang melengkapi YZF-R15 dan YZF-R15M termasuklah teknologi Yamaha Y-Connect, lampu depan dan belakang LED, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium, hazard lamp, tinggi tempat duduk 815 mm, dan tayar tanpa tiub dalam siri 100/80-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang).

Yamaha YZF-R15 Connected 2021 mempunyai pilihan warna Icon Blue dan Tech Black, dengan harga jualan Rp. 38,900,000 (RM 11,398.13). Yamaha YZF-R15M Connected – ABS dan Yamaha YZF-R15M Connected – ABS WGP 60th 2021 pula dijual pada harga masing-masing Rp. 43,500,000 (RM 12,745.98) dan Rp. 44,100,000 (RM 12,921.79).

Dengan pelancaran Yamaha YZF-R15 V4 2021 serba baharu untuk pasaran Indonesia itu, ianya juga memberikan petunjuk bahawa model tersebut akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, mungkin pada awal tahun depan. Ketika ini pasaran Malaysia masih lagi ditawarkan model terdahulu Yamaha YZF-R15 2021 Version 3.0.