Galeri : Aveta V-13R 2021 tampil sporty dengan empat pilihan warna menarik

Aveta V-13R 2021 merupakan sebuah model moped sporty yang tampil dengan empat pilihan warna menarik iaitu Kelabu, Biru, Hitam dan Merah. Model tersebut dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada tarikh 06hb. November 2021 baru-baru ini, dengan harga asas RM 6,688.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Ianya dilengkapi enjin bersesaran 124cc (single cylinder, air cooled, carburetor), dengan padanan transmisi empat kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 7.8hp @ 7,500rpm, dengan tork puncak 8.5Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti maksimum 4.5 liter, pastinya sudah memadai.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi Aveta V-13R termasuklah sistem lampu LED penuh dengan lampu depan jenis Daytime Running Light (DRL), reka bentuk panel meter yang menarik, port pengecas USB, sistem brek cakera depan dengan kaliper dual piston, rim aloi yang bergaya, rekaan muffler ekzos terbaharu dan juga ekor belakang yang sporty.

Setakat ini Aveta V-13R 2021 ini telah tiba di kebanyakan bilik pameran wakil pengedar, dengan tawaran harga jualan yang berpatutan. Untuk anda yang mahu melihat dengan lebih jelas bagaimanakah reka bentuk sebenar model kapcai yang sporty dan bergaya ini, anda boleh saksikan gambar-gambar menariknya di dalam galeri seperti di bawah.

Sumber gambar : Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd FB