Yamaha Motor Europe kini memperkenalkan model naked Yamaha MT-125 2022, tampil dengan kemaskini tiga warna baharu yang lebih sporty dan segar iaitu Cyan Storm, Icon Blue dan Tech Black. Di pasaran UK, harga jualan untuk model berkenaan bermula dari £ 4,700.00, iaitu bersamaan RM 26,189.34 mengikut nilai tukaran mata wang semasa.
Untuk musim 2022, Yamaha MT-125 kekal dikuasakan enjin bersesaran 125cc (Liquid-cooled, SOHC, Single cylinder, 4-stroke, VVA), dan dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch. Enjin yang bertaraf Euro 5 itu menjana kuasa maksimum sehingga 15PS @ 10,000rpm, dengan tork puncak 11.5 Nm @ 8,000rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha MT-125 2022 ini termasuklah rangka Deltabox yang sporty dengan lengan ayun aluminium, rekaan badan yang moden dan agresif, panel meter LCD negatif yang sofistikated, lampu depan LED yang sporty dan bergaya, fork depan USD 41 mm, brek depan dengan radial-mount caliper dan cakera 292 mm yang berprestasi tinggi, dan ianya turut dilengkapi tayar belakang yang lebar.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha menawarkan model Yamaha MT-15 2021, yang baru saja menerima kemaskini warna baharu pada bulan September 2021 yang lalu. Antara perbezaan Yamaha MT-125 dan Yamaha MT-15 ialah kapasiti enjin, brek cakera depan, sistem ABS, tempat pemijak kaki, rekaan mudguard depan, dan juga rekaan rim roda.