Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kini memperkenalkan tiga pilihan warna terbaharu dan corak grafik terkini untuk model naked Yamaha MT-15 2021. Ketiga-tiga pilihan warna terbaharu itu ialah Kelabu, Hitam dan Biru, bagi menggantikan pilihan dua warna terdahulu bagi model Yamaha MT-15 2020 iaitu Yamaha Blue dan Ice Fluo.
Selain pilihan warna terbaharu, spesifikasi teknikal untuk model berkenaan kekal sama seperti mana pada model tahun sebelumnya. Jentera naked yang lincah itu dikuasakan enjin berkapasiti 155cc (sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap) dengan teknologi VVA, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch.
Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai paras 19.3PS @ 10,000rpm, dengan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm. Jentera street naked tersebut mempunyai kapasiti tangki petrol maksimum 10 liter, dengan berat hanya 133 kg (wet weight). Ianya turut dilengkapi fork depan jenis terbalik dan sistem brek cakera depan dan belakang.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha MT-15 2021 termasuklah casis Deltabox dengan lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu depan LED mono yang digandingkan dengan lampu posisi berkembar, roda depan dan belakang dalam ukuran 110/70-R17 dan 140/70-R17 masing-masing, serta ketinggian tempat duduk 810 mm.
Harga asas untuk Yamaha MT-15 2021 adalah sebanyak RM 11,988.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Untuk setiap pembelian, pembeli akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Tempoh jaminan pengeluar untuk model tersebut adalah selama 2 tahun, atau jarak perjalanan sejauh 20,000 km.