Penampakan jelas model moped terbaharu Aveta V-13R 2021, pelancaran rasmi pada Sabtu depan?

Pengeluar motosikal tempatan iaitu Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. bakal melancarkan sebuah model moped terbaharu, yang akan dikenali dengan nama Aveta V-13R. Menurut maklumat terkini dari sumber yang boleh dipercayai, pelancaran rasmi model berkenaan bakal berlangsung pada hari Sabtu depan, bersamaan tarikh 06hb. November 2021.

Setakat ini, penampakan jelas Aveta V-13R telah pun terdedah melalui beberapa keping gambar seperti dalam galeri di bawah, dan sedikit sebanyak telah memberikan maklumat awal mengenainya. Dari segi pilihan warna, model tersebut akan ditawarkan dalam empat pilihan warna yang menarik, termasuk warna rim dan suspensi belakang yang menyerlah.

Penampilan dan spesifikasi teknikal yang ditawarkan oleh Aveta V-13R boleh dikatakan agak lengkap, seperti enjin 130cc bertaraf Euro 4, sistem brek cakera depan dengan dua piston, rim aloi, muffler ekzos dan ekor belakang yang sporty, rekaan meter kelajuan yang kelihatan menarik, dan sistem lampu yang dipercayai menggunakan LED sepenuhnya.

Aveta V-13R merupakan sebuah model moped yang tidak dilengkapi dengan klac tangan, bermakna ianya lebih mudah untuk ditunggang. Mengenai harga jualannya nanti, kita perlu menunggu sehingga ianya dilancarkan. Namun berdasarkan maklumat di dalam laman jual beli Mudah.my, Aveta V-13R ini mempunyai tanda harga sekitar RM 6,188.00 sahaja.