Honda RS-X 2021 secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 8,688.00

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) hari ini secara rasminya melancarkan model moped terbaharu yang ditunggu-tunggu selama ini iaitu Honda RS-X 2021. Sekali pandang, tentu ramai yang tahu bahawa Honda RS-X untuk pasaran Malaysia ini sebenarnya diasaskan daripada model Honda Winner X, yang terlebih dahulu dilancarkan di pasaran Vietnam.

Namun begitu Honda RS-X tampil sedikit berbeza berbanding Honda Winner X, apabila kepala depannya telah direka semula, menjadikan penampilan keseluruhannya kini lebih sporty dan ranggi. Selain itu, muffler ekzos juga telah menerima sedikit perubahan terkini, di mana cover penutupnya kini berwajah baharu, lebih sporty berbanding ekzos Winner X.

Honda RS-X boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Trico, Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow. Berkenaan harga jualannya, pasti mendebarkan semua peminat motosikal tempatan. Namun menariknya ialah harga jualan asas yang ditetapkan untuk Honda RS-X ini adalah sebanyak RM 8,688.00 sahaja, boleh dikatakan berpatutan.

Beralih ke bahagian spesifikasi teknikalnya, Honda RS-X masih mengekalkan enjin dalam sesaran 149.16cc (penyejuk cecair, DOHC, empat lejang, PGM-FI), iaitu enjin sama yang digunakan oleh Honda Winner X. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 15.8hp @ 9,000rpm dengan tork 13.6Nm @ 7,000rpm.

Honda RS-X seterusnya dilengkapi fork depan jenis teleskopik, suspensi belakang mono, brek cakera depan dan belakang, saiz tayar 90/80-R17 Tubeless (depan) dan 120/70-R17 Tubeless (belakang), ketinggian tempat duduk 795 mm, jarak kelegaan bumi 148 mm dan berat tanpa muatan 122 kg. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh 4.5 liter.

Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Honda RS-X 2021 ialah seperti sistem brek ABS (single channel), paparan penuh panel meter digital, sistem lampu LED sepenuhnya, dan pembuka tempat duduk yang cekap dan mudah untuk dikendalikan. Tempoh jaminan yang diberikan oleh BSH ialah selama 2 tahun atau mencapai 20,000 km jarak perbatuan.

Dengan pelancaran Honda RS-X 2021 ini, maka berakhirlah penantian panjang peminat motosikal tempatan yang selama ini begitu sabar menantikan pelancaran model tersebut untuk pasaran Malaysia. Kepada semua yang telah menempahnya sebelum ini, tahniah diucapkan. Semestinya Honda RS-X 2021 serba baharu ini sangat berbaloi untuk dimiliki.