Yamaha NVX 155 VVA 2022 di pasaran Vietnam kini tampil dengan kemaskini warna baharu yang lebih sporty

Yamaha Motor Vietnam pada hari ini rasmi memperkenalkan tiga pilihan warna baharu untuk model skuter Yamaha NVX 155 VVA 2022, iaitu Blue Light Gray – Black – Silver, White – Blue dan Gray – Black. Selain itu dua pilihan warna terdahulu iaitu Black – Gold dan Silver – Black – Gold masih lagi ditawarkan bersama-sama untuk musim 2022.

Yamaha NVX 155 VVA 2022 di pasaran Vietnam ditawarkan dalam versi teratas sahaja, bermakna ianya dilengkapi dengan spesifikasi penuh seperti sistem aplikasi Y-Connect yang canggih, sistem Smart Key, sistem Stop & Start dan port pengecas telefon bimbit. Model skuter yang sporty itu turut didatangkan dengan kelengkapan sistem brek ABS.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model itu termasuklah lampu depan LED rekaan baharu, panel meter digital berwajah baharu dengan pelbagai fungsi, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 5.5 liter, ruang di bawah pelana seluas 25 liter, ukuran tayar depan dan belakang yang lebar, suspensi belakang dengan tangki minyak hidraulik dan rekaan baharu tempat duduk yang lebih selesa untuk penunggang dan pembonceng.

Yamaha NVX 155 VVA 2022 dikuasakan enjin Blue Core dalam sesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC, liquid cooled) dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation), kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha NVX V2 2021 telah dilancarkan pada April 2021 yang lalu, dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan ABS. Kedua-dua varian itu ditawarkan dengan harga jualan asas RM 8,998.00 dan RM 10,998.00. Di pasaran Vietnam, harga Yamaha NVX 155 VVA 2022 ialah 53,000,000 VND, iaitu bersamaan nilai RM 9,680.56.