Untuk musim 2022, Suzuki GSX-R600 di pasaran USA kini tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu iaitu Glass Matte Mechanical Gray / Pearl Brilliant White, Glass Blaze Orange / Glass Sparkle Black (harga $11,499.00, bersamaan RM 47,853.09), dan juga Metallic Triton Blue / Metallic Mystic Silver, dengan harga $11,599.00 (RM 48,269.24).
Suzuki GSX-R600 2022 dikuasakan enjin bersesaran 599cc (4-stroke, liquid-cooled, 4-cylinder, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 125hp @ 13,500rpm dengan tork 67.7Nm @ 11,500rpm. Dengan teknologi Suzuki Drive Mode Selector (S-DMS), penunggang boleh memilih tahap kuasa enjin yang diperlukan.
Antara kelengkapan standard pada model sport bike kelas pertengahan itu termasuklah Showa Big Piston Front Fork (BPF), suspensi belakang tunggal juga dari Showa, sistem brek cakera depan berkembar 310 mm dengan kaliper radial mount Brembo Monobloc empat piston, dan peredam stereng kawalan elektronik untuk tunggangan lebih stabil.
Suzuki GSX-R600 2022 turut dilengkapi tangki bahan api 17 liter, meter digital pelbagai maklumat dengan takometer analog, lampu belakang LED, tayar depan 120/70-ZR17, tayar belakang 190/50-ZR17, ketinggian tempat duduk 810 mm dan berat 187 kg. Untuk pasaran Malaysia, belum dapat dipastikan sama ada ianya akan turut dilancarkan nanti.