Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022 diperkenalkan, harga jualan $9,299 untuk pasaran USA

Yamaha Motor Europe baru-baru ini telah memperkenalkan empat buah model motosikal yang tampil dalam skim warna istimewa World GP 60th Anniversary Edition, iaitu Yamaha YZF-R125, Yamaha YZF-R3, Yamaha YZF-R7 dan Yamaha YZF-R1. Bagi model Yamaha YZF-R7, ianya turut dilancarkan di pasaran USA, di samping model YZF-R3 dan YZF-R1.

Berbanding tiga model lain, Yamaha YZF-R7 2022 merupakan model paling baharu yang diperkenalkan secara rasmi dalam bulan Mei 2021 yang lepas. Kini model tersebut tampil dalam skim warna baharu yang ikonik dan sporty, khusus untuk memperingati sambutan ulangtahun buat kali ke-60 Yamaha di dalam arena perlumbaan MotoGP (1961 – 2021).

Menurut Yamaha, ciri-ciri utama pada model World GP 60th Anniversary ialah ianya tampil dengan kemasan badan berwarna putih dan grafik blok merah, emblem 60th Anniversary, jalur merah di atas tangki bahan api dan ekor, fender depan berwarna merah, plat nombor depan berwarna kuning dan rim berwarna emas. Spesifikasi teknikal pula tidak berubah.

Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022 dilengkapi enjin dalam sesaran 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, EURO5, 4-stroke, 4-valves, DOHC), yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 73.4PS @ 8,750rpm, dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Untuk pasaran USA, Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022 akan tiba mulai bulan Januari 2022 akan datang. Harga jualannya ditetapkan sebanyak $9,299, iaitu bersamaan RM 38,814.03 sahaja. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R7 ini dijangka akan turut dilancarkan, dengan harga jualan yang pastinya berpatutan dan mampu milik.