Modenas melalui EMOS kini secara rasminya dilantik sebagai pengedar sah eksklusif Kawasaki di pasaran Malaysia

Ada perkembangan menarik di antara Kawasaki dan Modenas pada beberapa hari yang lepas. Pertamanya ialah Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. telah mengumumkan bahawa mereka secara rasminya telah menamatkan aktiviti perniagaan mereka sebagai pengedar sah Kawasaki di pasaran Malaysia, berkuatkuasa dari 01hb. Oktober 2021.

Dengan perkembangan itu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. kini telah menukar nama mereka kepada nama baharu iaitu KMSB Motors Sdn. Bhd. Oleh itu KMSB dalam satu kenyataan rasmi telah mengatakan bahawa mereka akan mengorak langkah terkini dalam meneroka peluang perniagaan baharu untuk menjadi konglomerat yang berjaya.

Keduanya ialah selepas pengumuman daripada KMSB, akhirnya telah terjawab bahawa pengedar baharu Kawasaki di pasaran Malaysia ketika ini ialah Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), yang dilantik secara rasmi mulai 01hb. Oktober 2021. Perkara berkenaan telah diumumkan oleh Modenas melalui siaran akhbar yang diterbitkan baru-baru ini.

EMOS merupakan anak syarikat dan pengedar motosikal Modenas. Dengan pelantikan tersebut, EMOS akan bertanggungjawab sepenuhnya sebagai pengedar eksklusif untuk Kawasaki, yang merangkumi hak pengedaran bagi semua rangkaian produk Kawasaki di Malaysia termasuk kenderaan, alat ganti, aksesori, dan maklumat khidmat pelanggan yang melibatkan perkhidmatan teknikal termasuk aktiviti ‘recall’ sekiranya diperlukan.

Namun untuk melancarkan lagi proses pengambilalihan, EMOS akan menjalani tempoh peralihan selama enam (6) bulan, dengan bantuan daripada KMSB. Dalam tempoh itu, pemilik motosikal Kawasaki masih boleh kembali kemana-mana wakil pengedar atau stokis Kawasaki bagi pembelian serta pertanyaan alat ganti dan perkhidmatan teknikal.

Antara sebab kenapa hak pengedaran Kawasaki di pasaran Malaysia kini telah bertukar tangan kepada Modenas ialah disebabkan perubahan polisi Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI), yang mana syarikat dari Jepun itu dalam bulan April 2019 yang lalu telah pun menambah pemilikian ekuiti di dalam Modenas iaitu dari 19 peratus kepada 30 peratus.

Kini dengan pelantikan Modenas melalui EMOS sebagai pengedar eksklusif Kawasaki di pasaran Malaysia, mungkin tidak salah jika peminat motosikal tempatan meletakkan harapan untuk melihat Modenas menawarkan model-model Kawasaki pada harga yang lebih mampu milik, termasuk model yang dinanti-nantikan iaitu Kawasaki Ninja ZX-25R.

Bagimanapun setakat ini kita semua masih perlu menunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak Modenas, terutamanya mengenai perancangan mereka selepas dilantik sebagai pengedar eksklusif Kawasaki di pasaran Malaysia. Sebarang perubahan atau perkembangan akan diumumkan oleh syarikat tempatan itu dari semasa ke semasa.