Dayang ADV150 2021 dilancarkan di pasaran Filipina, harga jualan bersamaan RM 11,320.63

Model skuter bergaya kembara @ adventure Dayang ADV150 2021 merupakan antara model yang dinanti-nantikan pelancarannya di pasaran Malaysia. Namun sehingga kini pelancaran rasminya oleh sebuah syarikat pengeluar motosikal tempatan masih belum berlangsung, walaupun imej ‘teaser’ model berkenaan telah pun muncul baru-baru ini.

Apa yang menariknya ialah walaupun Dayang ADV150 disebut-sebut akan dilancarkan di pasaran Malaysia, akhirnya pasaran Filipina yang terlebih dahulu menerima ketibaan model skuter adventure itu, yang baru saja dilancarkan hampir dua minggu yang lepas. Harga jualannya juga menarik iaitu Php 138,000 sahaja, bersamaan RM 11,320.63.

Untuk pasaran Filipina, Dayang ADV150 dilancarkan oleh syarikat tempatan iaitu Fekon Motorcycle Philippines. Oleh itu ianya kini dikenali dengan nama baharu FKM Venture 150 2021, dan boleh didapati dalam empat pilihan warna yang menarik. Spesifikasinya seperti mana yang kita tahu adalah serba lengkap dan bersedia untuk aktviti adventure.

Antaranya ialah FKM Venture 150 2021 dilengkapi enjin dalam sesaran 150cc (4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valve) dengan kuasa 16.45PS @ 8,500rpm dan tork 14.6Nm @ 6,500rpm, dan dipadankan dengan sistem transmisi CVT. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya didatangkan dengan kapasiti maksimum sehingga 9.3 liter.

Model tersebut turut mempunyai sistem kunci Electronic Keyless System, sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital LCD yang terang bersaiz besar 7 inci dan terbina dalam dengan Hazard Switch, soket pengecas USB, ruang simpanan barangan yang luas di bawah tempat duduk, dan sistem brek cakera dengan ABS dua saluran.

FKM Venture 150 menggunakan tayar depan dan belakang berukuran 110/80-R14 dan 130/70-R13 (tubeless cross country tires), yang digandingkan dengan rim aloi berwarna hitam dan jingga. Untuk pasaran Malaysia berdasarkan maklumat terkini, model skuter adventure ini berkemungkinan besar akan dilancarkan hanya pada Disember depan.