Yamaha Motor Vietnam baru-baru ini memperkenalkan sebuah model kapcai terbaharu iaitu Yamaha Sirius FI 2021, yang kini tampil berwajah baharu lebih sporty, bergaya dan menawan. Tiga versi ditawarkan iaitu dengan rim aloi sporty dan brek depan cakera, rim lidi dengan brek depan cakera, dan juga versi rim lidi dengan brek depan jenis dram.
Setiap versi mempunyai empat pilihan warna, dengan harga sebanyak VND 23,690,000 (RM 4,307.93) untuk Yamaha Sirius FI RC 2021 (rim aloi / brek depan cakera). Yamaha Sirius FI 2021 (rim lidi / brek depan cakera) pula memiliki tanda harga VND 21,840,000 (RM 3,971.51), dan VND 20,840,000 (RM 3,789.67) untuk versi rim lidi dan brek dram.
Yamaha Sirius FI 2021 di pasaran Vietnam ini dikuasakan enjin dalam sesaran 113.7cc (empat lejang, 2-injap, SOHC, sejukan udara, sistem suntikan bahan api) dengan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 8.7PS @ 7,000rpm dengan tork 9.5Nm @ 5,500rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 4.0 liter.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model berkenaan termasuklah sistem penjana kuasa yang kini menggunakan AC power, membolehkan tahap keterangan lampu depan dan belakang lebih stabil dalam setiap putaran enjin. Jarum penunjuk tangki bahan api pula akan kekal pada paras sifar apabila enjin dimatikan, sehinggalah enjin dihidupkan.
Yamaha Sirius FI 2021 turut dilengkapi ruang penyimpanan barang-barang yang luas di bawah tempat duduknya, dan boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis separuh. Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya adalah seperti lampu signal terbina dalam, rantai dengan penutup, tempat pemijak kaki sporty dan sistem ekzos dengan ciri lebih senyap.
Sumber gambar : vnexpress.net