Honda CRF190L 2022 kini di pasaran China, harga bersamaan RM 11,500.57

Honda Sundiro kini menawarkan sebuah model rali terbaharu di pasaran China, dikenali dengan nama Honda CRF190L 2022. Jika ada yang mengatakan model ini merupakan versi mini kepada model penjelajah Honda CRF1100L Africa Twin 2022, mungkin ada kebenarannya. Konsep kedua-dua model tersebut boleh dikatakan sama sepenuhnya.

Namun begitu Honda CRF190L 2022 ini didatangkan dengan tanda harga yang sangat berpatutan, hanya 17,889 Yuan, bersamaan RM 11,500.57 berdasarkan kadar semasa. Harga yang ditetapkan itu berpadanan dengan spesifikasi yang ditawarkan, malah ianya juga mampu untuk melakukan penjelajahan ke mana-mana jalan yang serba mencabar.

Honda CRF190L 2022 dikuasakan enjin bersesaran 184.4cc yang menghasilkan kuasa maksimum 15.5hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 15.75Nm @ 6,000rpm. Dilengkapi tangki bahan api 14 liter, meter digital LCD, brek cakera depan dengan ABS, dan sistem lampu LED depan dan belakang pastinya sudah mencukupi untuk model berkenaan.

Model itu turut dilengkapi sistem suspensi dengan tahap travel yang tinggi, ukuran tayar depan dan belakang 90/90-R19 dan 110/90-R17, serta jarak kelegaan bumi yang cukup luas. Akhir sekali Honda CRF190L 2022 atau Honda Africa Twin Mini ini tersedia dalam empat pilihan warna yang menyerlah, termasuk pilihan warna ikonik Honda Tricolour.