Untuk musim 2022, jentera Honda CRF1100L Africa Twin telah diumumkan menerima tiga kemaskini baharu yang lebih menarik, iaitu kelengkapan carrier belakang yang kini menjadi ciri standard, dihiasi logo grafik baharu yang lebih besar, dan sistem transmisi DCT yang disemak semula agar ianya lebih lancar dalam gear pertama dan kedua.
Spesifikasi lain masih lagi sama seperti mana pada model tahun sebelumnya, termasuk hadir dalam pilihan skim warna seperti Grand Prix Red, Pearl Glare White Tricolour dan Matte Ballistic Black. Honda Africa Twin 2022 merupakan sebuah jentera kembara lasak yang mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan jalan yang mencabar dan sukar.
Ianya dilengkapi enjin 1,084cc (SOHC, liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve Parallel Twin with 270° crank and Uni-cam) bertaraf Euro 5, yang menjana sehingga 100.5hp @ 7,500rpm dan tork 105Nm @ 6,250rpm. Pilihan sistem transmisi sama ada manual enam kelajuan atau DCT enam kelajuan, manakala kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 18.8 liter.
Merupakan jentera yang canggih, Africa Twin turut dilengkapi unit IMU (six-axis Inertial Measurement Unit) yang mengawal mod tunggangan (Tour, Urban, Gravel, Off-Road, User 1 & 2) dan HSTC (Honda Selectable Torque Control), termasuklah Cornering ABS (with off-road setting), Wheelie Control, Rear Lift Control dan DCT cornering detection.
Honda CRF1100L Africa Twin 2022 turut menawarkan skrin sesentuh 6.5 inci TFT MID (Multi Information Display) berwarna sepenuhnya, dengan sambungan teknologi Apple CarPlay, Bluetooth dan Android Auto. Lampu depan LED dan lampu DRL (Dual LED Daytime Running Lights) seterusnya meningkatkan penglihatan dan ciri keselamatan.
Spesifikasi lain yang melengkapi jentera pengembaraan itu ialah lampu belakang LED, soket pengecas USB, Auto Turn Signal Cancel, sistem Cruise Control, Emergency Stop Signal, sistem brek ABS dua saluran, fork depan dan suspensi belakang SHOWA, tinggi tempat duduk 850 / 870 mm, dan berat (kerb weight) mencapai 229 kg (DCT 240 kg).