Model kapcai Yamaha Finn 2021 baru saja dilancarkan di pasaran Thailand, kini tampil dengan kemaskini warna dan grafik baharu yang lebih menarik. Bagi model tahun 2021 ini, kesemua versi Yamaha Finn telah dilengkapi dengan sistem penghidup jenis elektrik untuk lebih kemudahan, di samping sistem penghidup konvensional jenis tendang.
Masih ditawarkan dalam empat versi kesemuanya, versi teratas dilengkapi sistem brek UBS, pilihan satu warna dan dijual pada harga THB 47,000 (RM 6,030.34). Versi kedua tidak dilengkapi sistem brek UBS, mempunyai pilihan tiga warna, dan dijual pada harga THB 45,500 (RM 5,837.89). Versi ketiga dilengkapi rim jejari, brek cakera, tiga pilihan warna dan berharga THB 43,500 (RM 5,581.27). Seterusnya versi terakhir dilengkapi rim jejari, brek jenis dram, pilihan satu warna dan berharga THB 39,800 (RM 5,106.55).
Yamaha Finn dikuasakan enjin bersesaran 114cc (4-stroke, single cylinder, SOHC, air-cooled) dengan kotak gear empat kelajuan. Jumlah kuasa dan tork bagaimanapun tidak dipaparkan di dalam laman sesawang Yamaha Thailand. Tangki bahan apinya memiliki kapasiti 4.0 liter, dengan tahap ekonomi yang dikatakan begitu cekap dan menjimatkan.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha Finn ini termasuklah sistem kawalan kunci berpusat dengan pelbagai fungsi dan ciri keselamatan yang lebih baik, slot depan pelbagai guna, ruang di bawah tempat duduk dengan kapasiti sehingga 9.7 liter, panel meter bercirikan kemewahan, rekaan lampu depan dan belakang moden, dan tawaran tempoh jaminan yang cukup panjang iaitu selama 5 tahun dan tanpa had perbatuan.
Galeri : 2021 Yamaha Finn (versi brek UBS)
Galeri : 2021 Yamaha Finn (versi brek cakera tanpa UBS)
Galeri : 2021 Yamaha Finn (versi rim jejari dan brek cakera)
Galeri : 2021 Yamaha Finn (versi rim jejari dan brek dram)