Yamaha Sniper 155 dan Sniper 155R 2021 dilancarkan secara rasmi di pasaran Filipina, harga bermula dari RM 9,929.33

Selepas pasaran Vietnam dan Malaysia, kini tiba pula giliran Filipina untuk menerima kehadiran model super moped terbaharu Yamaha dengan enjin 155cc VVA. Di pasaran Filipina, model yang dilancarkan secara rasmi pada kelmarin itu dikenali dengan nama Yamaha Sniper 155, didatangkan dalam dua varian iaitu Sniper 155 dan Sniper 155R.

Yamaha Sniper 155 merupakan versi standard, manakala Yamaha Sniper 155R adalah versi premium yang didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan iaitu sistem kunci pintar (Smart Key), brek cakera depan dengan kaliper dua piston dan soket kuasa DC 12V. Pilihan warna untuk kedua-dua versi berkenaan juga ditawarkan berbeza.

Bagi model Sniper 155, ianya boleh didapati dalam tiga skim pilihan warna menarik iaitu Race Blue, Yellow Hornet dan Black Raven. Untuk Sniper 155R pula, hanya satu pilihan warna tunggal ditawarkan iaitu Matte Titan. Harga jualan adalah bermula dari P114,900 (RM 9,929.33) untuk Sniper 155 dan P120,900 (RM 10,447.83) untuk Sniper 155R.

Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri lain untuk Yamaha Sniper 155 dan Yamaha Sniper 155R adalah sama. Enjin yang dibekalkan hadir dalam kapasiti 155cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation), menghasilkan kuasa maksimum sehingga 17.9PS @ 9,500rpm dengan tork puncak 14.4Nm @ 8,000rpm.

Sistem transmisinya ialah enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch. Dengan pelancaran Yamaha Sniper 155 dan Sniper 155R di pasaran Filipina, bermakna pasaran seterusnya mungkin Indonesia, Thailand dan Singapura. Nampaknya Yamaha benar-benar agresif dalam mengukuhkan penguasaan pasarannya di rantau ASEAN.