Yamaha Motor Vietnam pada beberapa hari yang lepas telah mengumumkan bahawa model naked Yamaha MT-15 2021 kini didatangkan kemaskini warna baharu yang lebih sporty iaitu Red Gray, Blue dan Red. Untuk pasaran Vietnam, harga jualan untuk model tersebut ditetapkan sebanyak VND 69,000,000, bersamaan nilai RM 12,398.78.
Selain tampil sporty dan bergaya, Yamaha MT-15 turut dikuasakan enjin yang berkuasa dalam sesaran 155cc (4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled). Enjin yang dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch itu menghasilkan kuasa maksimum 19.3PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi model naked tersebut antaranya termasuklah panel meter digital LCD sepenuhnya, lampu depan dan lampu belakang LED, fork depan jenis upside-down, sistem brek cakera depan dan belakang, tayar depan dan belakang yang besar bersaiz 110/70-17 dan 140/70-17, dan tangki bahan api dengan kapasiti 10 liter.
Melalui siaran akhbar ringkas yang diterbitkan oleh Yamaha Motor Vietnam, kelajuan maksimum Yamaha MT-15 2021 ini dikatakan mencecah sehingga 130 km/j. Kelajuan maksimum tersebut boleh dikatakan agak impresif dan bersesuaian dengan saiz enjin dan reka bentuknya. Mungkin dengan sedikit ubahsuai, kelajuan itu akan bertambah.