Husqvarna Motorcycles dedah model skuter elektrik konsep Vektorr, jarak perjalanan mencapai 95 km

Husqvarna Motorcycles sebelum ini telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan memberikan tumpuan kepada segmen baharu E-Mobility, dan memperkenalkan model konsep pertama E-Pilen. Kemudiannya pada 06hb. Mei 2021 yang lepas, sebuah lagi model konsep terbaharu diperkenalkan, dikenali dengan nama Vektorr Concept.

Ianya merupakan sebuah model skuter elektrik konsep yang mesra alam, dibangunkan sebagai kenderaan urban peribadi untuk masa depan. Vektorr Concept merupakan model skuter elektrik pertama yang dibangunkan oleh Husqvarna Motorcycles, tampil dengan rekaan yang kompak dan bergaya sebagai sistem pengangkutan yang efektif.

Vektorr Concept dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 45 km/j, dengan jarak perjalanan yang ditawarkan adalah sejauh 95 km bagi setiap pengecasan penuh. Ketika ini Husqvarna Motorcycles belum mengumumkan bilakah model konsep tersebut akan berada di pasaran secara rasmi, terutamanya untuk pasaran pertama di Eropah.