Aprilia Tuono 125 2021 diperkenalkan di pasaran Eropah, kini tampil lebih sporty dengan enjin 125cc yang lebih berkuasa

Model sport bike Aprilia RS 125 2021 baru saja diperkenalkan di pasaran Eropah baru-baru ini, begitu juga dengan kembarnya Aprilia Tuono 125 2021. Jentera naked tersebut turut menerima kemaskini terbaharu di bahagian depannya, serta tampil dengan rekaan lampu depan triple ikonik yang hampir sama seperti model Aprilia Tuono 660 2021.

Aprilia Tuono 125 merupakan sebuah model di dalam segmen street fighter, manakala kembarnya Aprilia RS 125 mempunyai perwatakan sebagai sebuah jentera sport bike yang bercirikan perlumbaan. Perbezaan antara kedua-duanya terlihat jelas di bahagian fairing, posisi handlebar, rekaan tempat duduk, pemijak kaki dan pilihan warna casis.

Bagi musim 2021, enjin yang melengkapi Aprilia Tuono 125 kini merupakan unit baharu yang lebih berkuasa. Enjin 125cc satu silinder dengan sistem sejukan cecair dan empat injap itu dikatakan lebih cekap hasil pengurusan sistem ECU terbaharu Marelli MIUG4. Sistem ekzos rekaan baharu pula kini dilengkapi sistem pemangkin yang lebih cekap.

Aprilia Tuono 125 dilengkapi casis aluminium dengan struktur yang kukuh, tegar dan ringan, membolehkannya menawarkan tahap kestabilan dan pengendalian maksimum ketika beraksi di jalanan mahu pun di litar. Aspek berkenaan turut disumbangkan oleh penggunaan fork depan USD dan suspensi monoshock dengan lengan ayun asimetrik.

Untuk daya pemberhentian maksimum yang lebih selamat, Aprilia Tuono 125 dilengkapi sistem brek ABS dua saluran yang canggih hasil kolaborasi dengan Bosch. Sistem brek seterusnya dibawakan daripada model motosikal dalam kategori lebih besar, dilengkapi kaliper radial yang dipadankan cakera keluli berukuran 300 mm pada roda hadapan.

Untuk kestabilan dan tahap cengkaman yang lebih baik sewaktu tunggangan, model tersebut dilengkapi sepasang tayar Michelin, yang mana kelebaran tayar belakang kini mencapai 140 mm. Tangki bahan api menawarkan kapasiti 14.5 liter, di samping ruang kompatmen yang luas di bawah tempat duduk dengan pilihan port pengecas USB.

Sistem lampu pada model berkenaan kini semuanya LED, termasuk lampu signal pada bahagian depan yang disepadukan dengan lampu utama. Panel instrumen LCD digital baharu pula hadir dengan paparan pelbagai maklumat penting perjalanan, serta boleh disambungkan ke platform multimedia Aprilia MIA melalui sistem sambungan Bluetooth.

Aprilia Tuono 125 2021 boleh didapati dalam tiga skim pilihan warna kesemuanya iaitu Lightning White, Arrow Grey dan Aprilia Black. Sama seperti model Aprilia RS 125 2021 yang tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, begitu juga dengan model Tuono 125 ini. Kedua-dua model berkenaan ketika ini hanya khusus untuk pasaran Eropah.