Model moped Rusi Flash 150 EFI di pasaran Filipina merupakan model asal daripada jenama Yingang Flash 150, keluaran syarikat China yang bernama Chongqing Yingang Science Technology (Group) Co., Ltd. Untuk pasaran Malaysia, model ini juga bakal dilancarkan oleh syarikat tempatan, dijangkakan dalam suku ketiga tahun 2021 ini.
Setakat ini ini model tersebut sedang menjalani ujian jalan raya, berdasarkan paparan gambar-gambar spyshot yang berjaya dirakamkan dalam bulan Januari 2021 yang lalu. Apabila dilancarkan nanti, harga jualannya dikatakan berpatutan dan mampu milik, jika dibandingkan dengan model-model moped lain di pasaran temparan pada ketika ini.
Dari segi reka bentuknya, Rusi Flash 150 EFI atau Yingang Flash 150 ini menawarkan gaya penampilan yang sporty dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ditawarkannya juga mampu menarik perhatian ramai peminat motosikal tempatan, antaranya termasuklah dilengkapi sistem brek dengan ABS.
Di bahagian enjin, ianya bersesaran 149.2cc dengan piawaian Euro 4, dan mempunyai sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api EFI daripada jenama Delphi. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 10.6PS @ 7,000rpm dengan tork maksimum 11.5Nm @ 5,500rpm.
Spesifikasi lain yang melengkapi model tersebut ialah fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dengan ABS, brek cakera belakang, panel meter gabungan digital dan analog, sistem lampu LED sepenuhnya, dan rim aloi unik yang dipasangkan tayar depan bersaiz 90/80-17 dan belakang bersaiz 120/70-17.
Di pasaran Filipina, Rusi Flash 150 EFI ditawarkan pada harga sekitar RM 6k sahaja. Ini bermakna harga untuk pasaran Malaysia nanti mungkin dalam lingkungan yang hampir sama. Dengan penampilannya yang sporty dan bergaya, spesifikasi yang menarik dan harga jualan yang mampu milik, tidak mustahil ianya menjadi pilihan ramai pembeli.
Sumber gambar : Yingang Motor FB