Spyshot terkini model moped Yingang Flash 150 yang sedang ditunggang uji di Malaysia

Berdasarkan laporan terdahulu, pengeluar motosikal tempatan Ottimo Technologies Sdn. Bhd. dijangka bakal melancarkan sebuah model moped terbaharu dengan enjin bersesaran 150cc. Model tersebut bakal memberikan saingan kepada model-model lain seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i dan SYM VF3i 185.

Setakat ini kelibat model tersebut yang dipercayai merupakan model Yingang Flash 150 buatan dari negara China telah berjaya dikesan, ketika sedang menjalani sesi tunggang uji di jalan raya Malaysia dalam bulan Januari 2021 yang lepas. Terkini, kelibat model tersebut yang sedang ditunggang uji sekali lagi telah berjaya ditemui baru-baru ini.

Berdasarkan gambar-gambar spyshot tersebut, model Yingang Flash 150 itu dipercayai sedang menjalani sesi tunggang uji di atas lebuh raya berdekatan Kepala Batas, Pulau Pinang, dengan diiringi oleh model Benelli RFS150i. Adakah ini bermakna ianya akan dilancarkan oleh WMoto Malaysia dan bukannya Ottimo Technologies Sdn. Bhd.?

Setakat ini belum dapat dipastikan dengan tepat syarikat tempatan manakah yang bakal melancarkan model Yingang Flash 150 ini untuk pasaran Malaysia. Syarikat Ottimo buat masa ini belum memberikan sebarang petunjuk terkini, cuma WMoto dikhabarkan akan melancarkan sebuah model terbaharu pada hujung bulan Mac 2021 akan datang.

Berdasarkan spesifikasi asal Yingang Flash 150, ianya dikuasakan enjin 150cc dengan sistem sejukan udara, dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Masih menggunakan sistem penyampaian bahan api jenis karburator, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 11hp (8.2kW) @ 7,000rpm dengan tork maksimum 12Nm @ 5,500rpm.

Spesifikasinya yang lain termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, roda depan 90/80-17 dan roda belakang 120/70-17, ketinggian tempat duduk 780 mm, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 5.0 liter dan berat kering hanya 113 kg.

Secara keseluruhannya, spesifikasi teknikal Yingang Flash 150 ini masih belum mampu menandingi model-model lain sekelas dengannya yang dijual di pasaran Malaysia pada ketika ini. Mungkin jika ianya ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mampu milik, tidak mustahil ianya akan menjadi pilihan kebanyakan peminat motosikal tempatan.

Sumber gambar spyshot : Funtasticko.net

Artikel Popular Minggu Ini :