Model moped terbaharu Honda Winner X atau Honda RS150R V3 2021 dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Antara pilihan warna yang dijangka akan ditawarkan untuk model yang dinanti-nantikan itu ialah Repsol Edition, sama seperti yang ditawarkan untuk model Honda RS150R Repsol Edition 2020.
Untuk pasaran Vietnam, Honda Winner X tidak pernah ditawarkan dalam warna Repsol Edition, namun pilihan warna tersebut boleh didapati secara custom di pasaran negara tersebut. Contohnya ialah model Honda Winner X Repsol Edition 2021 seperti mana yang dipaparkan dalam galeri di bawah, sumber dari Hệ Thống HEAD – Phát Tiến.
Penampilan Honda Winner X Repsol Edition itu boleh dikatakan agak menarik, namun gabungan warna yang dipadankan masih belum mampu menyaingi skim warna Repsol Edition yang asli keluaran Honda. Diharapkan Honda Winner X Repsol Edition keluaran Boon Siew Honda nanti akan tampil dengan skim warna yang menyerlah dan sporty.
Setakat ini menurut sumber maklumat terdahulu, pelancaran Honda Winner X dijangka akan berlangsung antara bulan Mei – Julai 2021, dengan harga jualan asasnya sekitar RM 8.5k sehingga RM 9.5k. Tarikh pelancaran mungkin akan berubah memandangkan negara kita ketika ini kembali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.