Kawasaki Motor Indonesia sejak kelmarin telah menawarkan promosi jualan istimewa Ramadan Sale untuk model sport bike Kawasaki Ninja 250SL model tahun 2020. Model tersebut ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Special Edition, dengan harga jualan bermula serendah Rp. 34.9 juta (Standard) dan Rp. 35.9 juta (Special Edition).
Apabila ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia, ini bermakna Kawasaki Ninja 250SL versi Standard hanya berharga sebanyak RM 9,896.55 sahaja, manakala untuk versi Special Edition harganya ialah RM 10,180.12. Lebih menarik lagi harga yang ditetapkan itu adalah harga On The Road (OTR) yang pastinya sangat berpatutan dan berbaloi.
Melihat kepada spesifikasinya, apa yang ditawarkan oleh model Ninja 250SL ini tidak kurang menariknya. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 249cc (single-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valve) dengan padanan transmisi enam kelajuan, dan menjana kuasa maksimum 28PS @ 9,700rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 8,200rpm.
Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki Ninja 250SL ketika ini turut ditawarkan, sejak ianya dilancarkan pada tahun 2014 yang lalu. Bagaimanapun harga jualan asas terkini untuk model tersebut ketika ini masih berada dalam lingkungan RM 17k. Sangat menarik jika harga OTR untuk pasaran Malaysia juga diturunkan sama seperti di pasaran Indonesia.