Untuk para peminat motosikal sportbike dalam segmen 250cc di pasaran tempatan ketika ini, pilihan terbaharu yang bakal ditawarkan dalam masa terdekat ialah CFMOTO 250SR. Menurut maklumat terkini, model tersebut akan berada di pasaran mulai bulan Ogos 2020, namun harganya telah pun diumumkan sebanyak RM 15,800.00 sahaja.
Harga tersebut boleh dikatakan sangat kompetetif kerana CFMOTO 250SR dilihat menawarkan banyak ciri-ciri dan spesifikasi yang menarik. Bagaimanapun untuk anda yang mungkin mahu mencari model lain yang setara namun pada harga dalam lingkungan yang sama, mungkin boleh mempertimbangkan Kawasaki Ninja 250SL.
Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki Ninja 250SL dilancarkan buat pertama kali dalam bulan Mei 2014, pada harga RM 17,689.00. Berdasarkan pemerhatian di dalam internet dan di dalam laman jual beli Mudah.my, harga terkini untuk model berkenaan tidak banyak berubah, di mana harga asasnya masih dalam lingkungan RM 17,499.00.
Kawasaki Ninja 250SL memiliki enjin 249cc (Liquid-cooled, 4-stroke, Single Cylinder, DOHC 4-valve) dengan sistem suntikan bahan api, sistem penghidup elektrik dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Enjin satu silinder itu mampu menghasilkan kuasa maksimum pada angka 28PS @ 9,700rpm dengan tork 22.6Nm @ 8,200rpm.
Dengan berat hanya 151 kg (curb mass), ianya berpadanan dengan nisbah kuasa kepada berat yang ditawarkan oleh model berkenaan. Untuk perjalanan lebih jauh, Kawasaki Ninja 250SL dibekalkan tangki bahan api dengan isian maksimum 11 liter, manakala sistem brek cakera dual piston depan (290 mm) dan belakang (220 mm) didapati sudah memadai untuk memberhentikan motosikal tersebut dengan selamat.
Beralih ke bahagian suspensi, sepasang fork depan jenis teleskopik dan suspensi belakang monoshock (Uni-Trak with adjustable spring preload) menawarkan pengendalian tunggangan yang selesa dan terkawal, manakala tayar depan dalam siri 100/80-17M/C 52S dan belakang 130/70-17M/C 62S menjamin kestabilannya.
Dari segi gaya dan rekaan, Kawasaki Ninja 250SL tetap tampil dengan perwatakan sporty dan berjiwa perlumbaan, sama seperti model Kawasaki Ninja 250 yang dilengkapi enjin 250cc dua silinder. Untuk anda yang mementingkan kelajuan, Kawasaki Ninja 250SL ini dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 153 km/j.
Makluman : Galeri di bawah memaparkan gambar-gambar model Kawasaki Ninja 250SL untuk pasaran Eropah. Spesifikasi dan warna mungkin berbeza berbanding model yang ditawarkan di pasaran Malaysia.