Treeletrik merupakan pengeluar motosikal dan kenderaan elektrik berjenama tempatan, muncul secara rasmi sekitar tahun 2016 yang lalu. Kini empat model keluaran syarikat tersebut telah ditawarkan di pasaran Malaysia iaitu tiga buah model e-motorcycle T-70, T-90 dan T-Express, serta sebuah van komersial e-truck yang diberi nama T-MV7.
Treeletrik T-90 merupakan sebuah motosikal elektrik dengan reka bentuk seperti model skuter popular, dikuasakan oleh tenaga elektrik sepenuhnya. Model tersebut ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu White Blue, White Red, Black Green dan Black Orange. Harga jualannya yang ditetapkan adalah sebanyak RM15,282.00 OTR (On The Road).
Antara spesifikasi yang melengkapi T-90 ialah motor elektrik 5,000 watts tanpa geseran (brushless), bateri lithium dengan kapasiti 72V / 45AH dan pengecas bateri 220 – 240V x 50Hz (5 Amps). Tempoh pengecasan mengambil masa 4 sehingga 6 jam, dan mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 85 km. Kelajuan maksimumnya ialah 90 km/j.
Untuk tahap keselamatan yang lebih baik, Treeletrik T-90 dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang. Model e-motorcycle itu berdiri di atas roda depan bersaiz 130/60-13 dan roda belakang bersaiz 120/70-12. T-90 dirasakan sesuai untuk anda yang mungkin mahu mencuba sebuah kenderaan elektrik yang lebih mesra alam.