Daytona DY125RS 2021 diperkenalkan di pasaran Greece, dilengkapi enjin 120cc bertaraf Euro 5

Daytona Motors di pasaran Greece telah memperkenalkan versi terbaharu untuk model Daytona DY125RS, yang kini tampil berwajah baharu untuk musim 2021. Model kapcai tersebut kini dilengkapi lampu DRL (Daytime Running Lights) LED baharu di bahagian depannya, di samping enjin 120cc yang kini telah mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Enjin empat lejang dengan sistem suntikan bahan api EFI dan sistem penyejukan udara itu dipadankan transmisi empat kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 8.5PS @ 8,500rpm dan tork maksimum 8.3Nm @ 5,500rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 3.5 liter, dengan tahap penggunaan api berada pada paras 1.4 liter per 100 km.

Walaupun mempunyai gaya penampilan yang sederhana, Daytona DY125RS 2021 ini dibekalkan brek cakera depan dan belakang dengan sistem CBS. Empat pilihan warna yang boleh didapati ialah Black, White – Black, Mat Blue dan juga White. Untuk pasaran Greece, harga jualannya ditetapkan sebanyak € 1,595, bersamaan nilai RM 8,065.32.