Yamaha Zuma 125 2022 diperkenalkan di pasaran USA, harga jualan bersamaan RM 15k

Skuter lasak Yamaha Zuma 125 2022 baru saja diperkenalkan di pasaran USA, tampil berbeza berbanding model sebelumnya Yamaha Zuma 125 2021. Sebenarnya Yamaha Zuma 125 versi terbaharu merupakan model yang sama dilancarkan di pasaran Taiwan pada Oktober lepas, dikenali dengan nama yang berlainan iaitu Yamaha BW’S 2020.

Untuk pasaran USA, Yamaha Zuma 125 2022 boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Team Yamaha Blue dan Matte Black. Harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak $3,699.00, bersamaan RM 15,336.05 mengikut kadar semasa. Menurut Yamaha, skuter tersebut akan berada di pasaran secara rasmi mulai bulan Julai 2021 akan datang.

Yamaha Zuma 125 2022 dikuasakan enjin Blue Core bersesaran 125cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC single; 4 valves) dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) dan sistem Fuel Injection, seterusnya dipadankan dengan transmisi automatik V-Belt. Tangki bahan api yang melengkapinya pula didatangkan dengan kapasiti maksimum 6.1 liter.

Sistem suspensi model skuter tersebut terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, dan digandingkan dengan penyerap hentak belakang berkembar. Untuk tahap keselamatan yang lebih baik, ianya dilengkapi brek cakera depan berukuran 245 mm dengan kaliper dua piston, bersama-sama brek cakera belakang 230 mm dengan kaliper satu piston.

Untuk aktiviti luar yang lebih mencabar, Yamaha Zuma 125 2022 dilengkapi sepasang tayar dual-purpose yang bersaiz 120/70-12 (depan) dan 130/70-12 (belakang). Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah tongkat tengah dan sisi, suis penghidup dengan penutup untuk keselamatan, dan pengecas USB di ruang kompatmen depan.

Yamaha Zuma 125 2022 turut mempunyai ruang simpanan barang-barang yang luas di bawah tempat duduknya, yang boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh. Paparan panel meter digital LCD dengan pelbagai maklumat dan lampu hadapan LED dengan gaya rekaan asimetrik baharu melengkapkan lagi penampilannya yang ranggi.