Selepas pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam, ramai peminat model tersebut yang mempertikaikan reka bentuk kepalanya. Ramai yang mengatakan rekaan kepala model Yamaha Exciter 150 lebih menarik dan sporty, sehingga ada yang menukar kepala Yamaha Exciter 155 VVA menggunakan kepala Yamaha Exciter 150.
Seterusnya apabila Yamaha Y16ZR 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, situasi yang sama turut berlaku. Ramai yang mempertikaikan reka bentuk kepalanya yang dikatakan pelik. Ketika itu ramai peminat motosikal tempatan yang menjangkakan bahawa pemilik Yamaha Y16ZR nanti akan menukar kepalanya menggunakan kepala Yamaha Y15ZR.
Bagaimanapun akhirnya apa yang dikatakan bakal menjadi isu besar kepada Yamaha Y16ZR itu, rupa-rupanya tidak menjadi kenyataan. Lama-kelamaan reka bentuk kepala asal Yamaha Y16ZR semakin diterima ramai, ibarat semakin lama dipandang semakin cantik pula gaya dan penampilannya. Bak kata pepatah lama, tak kenal maka tak cinta.
Seperti mana yang dijangka, ramai pemilik Yamaha Y16ZR telah melakukan modifikasi terhadap motosikal kesayangan mereka pada ketika ini. Ianya melibatkan modifikasi di hampi kesemua bahagian, termasuklah menukar cover set baru agar ianya mirip model Yamaha Exciter 155 VVA. Bisnes peralatan after market Yamaha Y16ZR kini meletup.
Akhirnya sekadar pandangan dan ramalan, tiada pemilik Yamaha Y16ZR di negara kita yang sanggup menukar kepala asalnya kepada kepala Yamaha Y15ZR. Bagaimanapun jika ada yang mahukan kelainan agar tampil berbeza, sudah tentu tiada masalah untuk melakukannya. Namun percayalah, kepala asal Yamaha Y16ZR sudah cukup cantik.
Sumber gambar : Tinmoi.vn