Benelli pada tarikh 28hb. April 2021 baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model sport bike terbaharu Benelli Tornado 302R 2021 untuk pasaran China. Model tersebut merupakan versi terkini yang tampil dengan rekaan ‘facelift’ terbaharu yang lebih sporty dan moden berbanding model Benelli 302R 2021 yang diperkenalkan sebelum ini.
Benelli Tornado 302R mempunyai empat pilihan warna kesemuanya, dan didatangkan dengan tanda harga jualan sebanyak CNY 29,800 yang bersamaan nilai RM 18,891.70 mengikut kadar semasa. Harga tersebut adalah sedikit tinggi berbanding Benelli 302R, yang sebelum ini ditawarkan pada harga CNY 26,800, bersamaan RM 16,989.85.
Di bahagian enjin, Benelli Tornado 302R masih menggunakan enjin Benelli 302R yang bersesaran 300cc (2-cylinder in-line, DOHC, 8 valves, liquid cooled), dengan keluaran kuasa maksimum 35hp (26kW) @ 11,000rpm dan tork maksimum 27Nm @ 9,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.
Benelli Tornado 302R melalui spesifikasi dan ciri-cirinya menawarkan fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, tangki bahan api 14 liter, panel instrumen digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya, ketinggian tempat duduk 785 mm dan berat yang lebih ringan kepada hanya 182 kg.
Tayar depan dan belakangnya didatangkan dalam saiz masing-masing 110/70-R17 dan 150/60-R17. Selain daripada reka bentuk terkini yang lebih menarik dan sporty, Benelli Tornado 302R 2021 ini juga menawarkan prestasi tunggangan yang lebih baik. Kelajuan maksimum model tersebut pula agak mengujakan apabila mencapai angka 150 km/j.