Salah sebuah model kapcai mampu milik yang ditawarkan dengan harga berpatutan di pasaran tempatan pada ketika ini ialah Honda Wave Alpha. Kali terakhir model tersebut menerima kemaskini warna baharu ialah pada bulan Disember 2019 yang lalu. Mungkin tidak lama lagi ianya akan menerima kemaskini warna baharu yang lebih segar.
Honda Wave Alpha sebelum ini ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 4,339.00 untuk versi Roda Jejari, manakala versi Roda Tuangan boleh dimiliki pada harga asas RM 4,589.00. Namun begitu selari dengan pengecualian duti eksais 100 peratus bagi model-model motosikal di bawah 150cc, harga untuk model tersebut kini lebih rendah.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi sebelum ini, harga terkini Honda Wave Alpha bagi tempoh 1 April sehingga 31 Disember 2021 telah turun kepada RM 3,935.71 untuk versi Roda Jejari, dan RM 4,200.38 untuk versi Roda Tuangan. Dengan harga asasnya bermula dari RM 3.9k, pastinya pembelian model kapcai berjenama Honda ini berbaloi.
Honda Wave Alpha dikuasakan enjin 109.17cc (satu silinder, penyejuk udara, SOHC, 4 lejang, 2 injap) dengan sistem karburetor, dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 8.2hp @ 7,500rpm dan tork maksimum 8.42Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 3.7 liter.
Antara ciri-ciri praktikal yang ditawarkan oleh Honda Wave Alpha ialah ruang simpanan di bawah tempat duduk, panel meter yang jelas dan ringkas, sistem penghidup elektrik dan tendang, serta lampu signal depan rekaan baharu. Honda Wave Alpha semestinya pilihan yang sesuai untuk anda yang hanya memerlukan sebuah kapcai sederhana.