Yamaha XSR125 2021 rasmi dilancarkan di pasaran Eropah, dilengkapi enjin 125cc bertaraf Euro 5

Yamaha Motor Europe pada kelmarin dengan rasminya melancarkan model terbaharu Yamaha XSR125 2021 untuk pasaran Eropah. Berbanding model Yamaha XSR155 di pasaran ASEAN yang dilengkapi enjin bersesaran 155c, Yamaha XSR125 mempunyai enjin dalam sesaran hanya 125cc, khusus untuk kelas lesen aras mula di rantau sana.

Dari segi penampilan, Yamaha XSR125 kental dengan gaya retro dan klasik, seperti mana dua model lain dalam segmen Yamaha Sport Heritage iaitu Yamaha XSR700 dan Yamaha XSR900. Pilihan warna yang ditawarkan juga kelihatan sporty, menawan dan bersesuaian sekali, dikenali dengan nama Redline, Impact Yellow dan Tech Black.

Yamaha XSR125 dikuasakan enjin 125cc (liquid-cooled, SOHC, single cylinder) yang patuh piawaian Euro 5, lengkap dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA). Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 14.75hp @ 10,000rpm dengan tork maksimum 11.5Nm @ 8,000rpm.

Antara ciri-ciri utama yang melengkapi model tersebut termasuklah kerangka Deltabox, fork depan USD 37 mm, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, tayar dengan corak bunga yang menawarkan cengkaman terbaik dalam saiz 110/70-17 dan 140/70-17, tangki bahan api 11 liter dan tinggi tempat duduk 815 mm.

Ciri-ciri menarik lain pada Yamaha XSR125 ialah panel meter digital LCD dalam bentuk bulat, lampu depan dan lampu belakang LED juga berbentuk bulat, tempat duduk rata dan panjang dengan gaya rekaan klasik, handlebar yang tinggi untuk posisi tunggangan yang lebih selesa, dan mudguard roda depan yang mempunyai warna yang sama.

Berkenaan harga, Yamaha Motor Europe tidak memberikan sebarang maklumat rasmi, namun menyarankan bakal pembeli untuk menghubungi wakil pengedar masing-masing yang berdekatan. Diharapkan Yamaha XSR155 yang bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia nanti akan turut menerima skim warna menarik seperti Yamaha XSR125 ini.