Jika di pasaran Malaysia kita ditawarkan dengan model kapcai Aveta Ranger 110 2021 yang tampil dengan gaya rekaan unik, begitu juga dengan pasaran di Colombia. Untuk pasaran negara tersebut, model berkenaan dikenali dengan nama Moto Victory Shock 2021, dikuasakan enjin lebih besar 113cc dan dilengkapi sistem brek cakera depan.
Selain itu tayar depan dan belakangnya juga daripada jenis dual-purpose yang mampu meredah laluan tidak berturap dengan lebih baik. Moto Victory Shock ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Merah / Hitam dan Hijau / Hitam, dengan harga jualannya adalah sebanyak $ 4,399,000 (Colombian Peso), bersamaan RM 4,881.98 (kadar semasa).
Enjin 113cc empat lejang SOHC yang melengkapi Moto Victory Shock ini menghasilkan kuasa maksimum 8.71hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9Nm @ 5,500rpm. Enjin itu masih lagi dilengkapi sistem penyampaian bahan api karburetor, dan kemudiannya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Model tersebut dilengkapi tangki petrol 3.6 liter.
Ketinggian tempat duduknya ialah 760 mm, manakala berat hanya 89 kg (net weight). Dua lagi ciri menarik lain yang melengkapi Moto Victory Shock 2021 ialah panel meter digital dan sistem lampu LED sepenuhnya. Mungkin selepas ini Aveta Ranger 110 akan menerima naik taraf seperti itu, apabila tiba masanya versi facelift dilancarkan nanti.