Yamaha Y16ZR 2021 – benarkah mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 256 km bagi setiap tangki petrol?

Model terhangat Yamaha Y16ZR 2021 kini menjadi salah sebuah model moped popular di pasaran tempatan. Ramai yang sudah memilikinya walaupun harga yang ditawarkan lebih mahal dari harga yang ditetapkan oleh pengeluarnya HLYM. Yang penting, model tersebut dilengkapi enjin 155cc VVA yang berkuasa dan mempunyai kelajuan tinggi.

Bagaimanapun selain daripada enjin yang berkuasa dan laju, adakah Yamaha Y16ZR mempunyai tahap penjimatan petrol yang ideal? Berdasarkan maklumat rasmi daripada pengeluarnya, Yamaha Y16ZR yang dilengkapi tangki bahan api 5.4 liter ini mempunyai jarak tunggangan kira-kira 256 km, bagi setiap isian penuh petrol di dalam tangkinya.

Jika benar jarak tunggangannya mampu mencapai 256 km bagi setiap penggunaan 5.4 liter petrol, pencapaian tersebut boleh dikatakan sangat impresif. Namun perlu diingat bahawa setiap pengeluar motosikal menggunakan ujian tahap penggunaan bahan api yang berbeza berbanding penggunaan motosikal secara normal oleh setiap pengguna.

Mungkin pihak Yamaha menggunakan ujian tunggangan pada kelajuan malar 90 km/j untuk mendapatkan jarak tunggangan sejauh kira-kira 256 km bagi setiap tangki petrol, atau mungkin pada kelajuan yang lebih rendah. Jika menggunakan ujian pada kelajuan lebih tinggi, sudah pasti jarak perjalanan yang dicapai akan semakin berkurangan.

Baru-baru ini seorang pengguna Yamaha Y16ZR telah memuat naik status di dalam Facebook, yang mengatakan bahawa motosikal yang ditunggangnya dari Kuala Lumpur ke Terengganu telah menggunakan kos petrol sebanyak RM 43.00. Tambah beliau lagi, tahap kelajuan motosikal yang ditunggang itu pula dikatakan sekitar 137 km/j sahaja.

Dakwaan tersebut mungkin benar, kerana motosikal yang ditunggang itu memecut pada kelajuan yang tinggi, dan pada masa yang sama sistem VVA pastinya telah beroperasi dengan lancar. Atau mungkin juga disebabkan beberapa perkara lain yang secara tidak langsung telah menyumbang kepada tahap penggunaan petrol yang agak tinggi itu.

Sama ada benar Yamaha Y16ZR ini kuat menelan minyak atau pun jimat minyak, ianya berkait rapat dengan corak tunggangan bagi setiap individu. Selain itu, bergantung juga kepada sejauh manakah modifikasi yang telah dilakukan. Untuk mencapai jarak 256 km bagi setiap tangki petrol, perlu diingat kelajuan malarnya di bawah 90 km/j sahaja.