Yamaha NVX V2 2021 di pasaran Malaysia, apakah perbezaan spesifikasi di antara versi Standard dan ABS?

Model skuter terbaharu Yamaha NVX V2 2021 secara rasminya telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tarikh 28hb. April 2021 baru-baru ini. Model tersebut ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan ABS. Bagaimanapun setakat ini masih ramai yang tertanya-tanya apakah perbezaan spesifikasi sebenar di antara kedua-dua versi itu?

Bagi merungkai persoalan tersebut, semakan dan pemerhatian telah dilakukan melalui beberapa sumber yang boleh dipercayai. Hasilnya ialah terdapat lima jenis perbezaan yang melibatkan spesifikasi teknikal untuk model Yamaha NVX V2 2021 bagi kedua-dua versi Standard dan ABS, seperti mana dalam senarai yang dipaparkan di bawah :

  • Sistem Yamaha Y-Connect
  • Sistem Smart Key
  • Sistem Brek ABS
  • Sistem Stop & Start
  • Sistem Suspensi Belakang Dengan Sub-Tank

Kelima-lima sistem di atas hanya tersedia untuk versi ABS sahaja dan tidak disediakan untuk versi Standard. Sebagai tambahan, perbezaan lain ialah melalui pilihan warna, di mana versi ABS ditawarkan dalam warna premium yang lebih elegan iaitu Platinum SE dan GP Blue, manakala versi Standard didatangkan pilihan warna Cyan dan Merah.

Seterusnya melalui perbezaan spesifikasi teknikal dan pilihan warna, harga untuk versi Standard dan ABS juga sudah tentunya berbeza. Yamaha NVX V2 2021 versi Standard boleh dimiliki dengan harga asas RM 8,998.00, manakala versi ABS didatangkan harga asas RM 10,998.00. Perbezaan bagi kedua-dua harga tersebut ialah RM 2,000.00.

Spesifikasi lain melibatkan enjin dan prestasi, brek cakera di bahagian roda depan, brek dram di bahagian roda belakang, fork depan, panel meter digital, kapasiti tangki bahan api, ukuran tayar dan lain-lain adalah kekal sama. Untuk maklumat lebih lengkap, anda boleh lihat galeri gambar dan paparan spesifikasi dan ciri-ciri dalam galeri di bawah.

Sumber gambar : Paultan.org & Shin Hup Hing Motor Sdn Bhd FB