SYM VF3i 185 LE dan SYM VF3i 185 Pro terima penarafan sebagai model moped paling selamat di Malaysia

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) baru-baru ini telah menganjurkan program penilaian motosikal, atau dikenali sebagai Malaysia Motorcycle Assessment Program (MyMAP).

Program yang baru saja dibangunkan oleh MIROS dan MARii itu telah dilancarkan pada 29hb. Mac 2021, sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan motosikal, seterusnya mengurangkan peratusan kemalangan motosikal di Malaysia.

Pengerusi MIROS, Datuk Suret Singh berkata, model motosikal yang menyertai MyMAP akan mendapat penarafan bintang bergantung kepada aspek penilaian keselamatan, serta berdasarkan empat kriteria utama yang telah ditetapkan oleh program berkenaan.

Empat kriteria utama itu ialah pematuhan terhadap piawaian United Nations Econimic Commission for Europe (UNECE), kesesuaian pengeluaran, teknologi ciri keselamatan dan juga program sokongan keselamatan pengguna.

Menurut beliau lagi, antara wawasan MIROS dan MARii melalui program MyMAP ini ialah semua motosikal kapcai dan moped keluaran tempatan akan menjadikan sistem brek anti-kunci (ABS) sebagai salah satu piawaian standard motosikal di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, penilaian taraf bintang bagi sesebuah model itu mengambil masa selama sebulan dan taraf bintang boleh menurun sekiranya tiada komponen sistem brek ABS pada motosikal itu.

Selain itu, MyMAP juga ingin meningkatkan piawaian seperti tayar, lampu, alat kawalan kelajuan dan kegunaan alat pemantul cahaya pada rangka casis motosikal. Dalam fasa pertama program ini, penekanan akan diberikan kepada motosikal di bawah 250cc.

Ketika ini, model motosikal pertama di pasaran Malaysia yang menerima penarafan lima bintang MyMAP ialah SYM VF3i 185 LE dan SYM VF3i 185 Pro, yang mana kedua-dua motosikal moped tersebut telah sedia dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Diharapkan selepas ini banyak lagi model-model motosikal kapcai dan moped keluaran tempatan yang lain akan turut menyertai program MyMAP ini, seterusnya dilengkapkan dengan sistem brek ABS dan ciri-ciri keselamatan lain yang lebih baik dan selamat.

Sumber : BERNAMA & Sinar Harian