Menurut sumber dari saudara Amir Muhammad di dalam laman Facebook, terdapat sebuah model motosikal moped baharu sedang menjalani ujian di jalan raya Malaysia. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan model moped apakah itu, namun penampilannya mirip model Rato SVR180 2021 yang sebelum ini muncul di pasaran negara China.
Rato SVR180 mempunyai reka bentuk mirip model Honda Winner X, namun tidaklah sama seratus-peratus. Ianya dikuasakan enjin dalam sesaran 149.2cc dengan teknologi EFI, seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Janaan kuasanya mencapai angka 15.6PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 12.8Nm @ 9,000rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model moped Rato SVR180 ini termasuklah tangki bahan api dengan keluasan maksimum 7 liter, panel meter digital TFT, sistem lampu LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, serta tayar dalam siri 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).
Jika benar model ini akan dilancarkan oleh Aveta, bermakna semakin meriahlah dunia motosikal di negara kita selepas ini. Namun tarikh pelancaran model ini belum dapat dipastikan, mungkin dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Jika harga yang akan ditawarkan berpatutan, tidak mustahil model ini akan laris di pasaran Malaysia nanti.