Bermula pada tarikh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021, pihak kerajaan telah memberikan pengecualian duti eksais sehingga 100 peratus kepada motosikal versi pemasangan tempatan (CKD), dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah. Ini bermakna harga motosikal di pasaran tempatan akan menjadi lebih murah bermula pada hari ini.
Antara model motosikal yang layak menerima pengecualian duti eksais tersebut ialah Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR, yang mana kedua-dua model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 150cc, dan merupakan produk keluaran pemasangan tempatan. Untuk model Yamaha Y16ZR pula, model tersebut tidak layak kerana dilengkapi enjin 155cc.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan sendiri oleh Arena Motosikal ke beberapa buah kedai menjual motosikal sebentar tadi, harga jualan untuk model Honda RS150R kini menjadi lebih berpatutan. Bagi model Standard dengan pilihan warna Trico, Black dan Blue, ianya ditawarkan pada harga serendah RM 7,500.00 sahaja (harga atas jalan).
Bagi Honda RS150R versi Repsol Edition pula, harganya tinggi sedikit iaitu sebanyak RM 7,700.00 (harga atas jalan). Namun tidak semua kedai motosikal yang menawarkan harga serendah itu, apabila terdapat kedai atau wakil penjual yang masih menetapkan harga jualan di atas paras RM 8,000.00 dan ke atas, sama seperti harga sebelum ini.
Untuk model Yamaha Y15ZR pula, harga jualan yang ditawarkan ketika ini mencapai paras terendah sebanyak RM 9,200.00 sahaja (harga atas jalan). Namun sekali lagi disebutkan bahawa tidak semua kedai menawarkan harga serendah itu. Jadi anda perlu melakukan tinjauan di banyak kedai motosikal untuk mendapatkan harga paling rendah.
Bagi model Yamaha Y16ZR yang baru saja dilancarkan dan tidak layak untuk menerima pengecualian duti eksais, boleh dikatakan semua kedai yang menjualnya menawarkan harga sebanyak RM 12,800.00 (harga atas jalan). Dikhabarkan terdapat kedai motosikal yang menawarkan harga lebih rendah, namun pembeli terpaksa menunggu lebih lama.
Semua harga yang disebutkan tadi adalah harga untuk pembelian tunai dan harga atas jalan (On The Road) dengan insuran komprehensif (first party). Mungkin terdapat kedai-kedai lain yang menawarkan harga yang lebih rendah untuk model Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR, dan tidak mustahil juga harga jualan masih kekal dan tidak berubah.
Ini kerana walaupun pihak kerajaan telah memberikan pengecualian duti eksais, harga jualan sebenar masih tertakhluk kepada budi bicara pihak penjual. Ada kedai atau wakil jualan yang menawarkan harga yang rendah dan berpatutan, ada juga yang sebaliknya. Akhir kata, mana satu pilihan anda, Honda RS150R, Yamaha Y15ZR atau Y16ZR?