Sejak pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam pada penghujung tahun yang lepas, para peminat model moped berkenaan di pasaran Malaysia kelihatan tidak sabar-sabar menantikan kehadirannya. Akhirnya pada tarikh 18 Mac 2021, HLYM secara rasminya melancarkan model tersebut, dikenali dengan nama Yamaha Y16ZR.
Dan pada hari ini pula, Yamaha Y16ZR 2021 secara rasminya tiba di wakil pengedar di seluruh negara, awal sehari berbanding tarikh jangkaan pada 31 Mac 2021. Jadi untuk anda yang mahu melihat model tersebut dengan lebih dekat lagi, bolehlah berkunjung ke mana-mana cawangan pengedar Yamaha yang berdekatan tempat tinggal anda.
Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sosial Facebook, ramai peminat motosikal tempatan yang telah membuat tempahan untuk Yamaha Y16ZR. Pendek kata motosikal moped tersebut laris bagaikan pisang goreng panas. Paling beruntung sudah tentulah Youtuber terkenal Bob Yp, yang telah pun menerima unit pertama Y16ZR pada hari ini.
Dalam pada kemeriahan menyambut ketibaan Yamaha Y16ZR di bilik pameran wakil pengedar, terdengar juga rungutan bahawa harga yang ditawarkan jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga asas yang ditetapkan oleh HLYM. Sukar untuk memberikan komen berkenaan isu ini, kerana Yamaha Y16ZR ketika ini sedang menjadi rebutan.
Namun jika anda mahukan model lain yang lebih mampu milik, harga tunai untuk Honda RS150R ketika ini dikatakan sekitar RM 7k sehingga RM 8k sahaja. Situasi seperti ini sememangnya sudah pun dijangkakan, sama seperti harga Honda Winner X di pasaran Vietnam yang jatuh ke paras terendah sejak pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA.
Walaupun Yamaha Y16ZR ketika ini menjadi rebutan ramai peminat, situasi pada bulan April depan mungkin akan sedikit berubah, dengan pelancaran model super mopedĀ terbaharu keluaran Benelli. Pada bulan Jun pula, dijangkakan model Honda Winner X atau Honda RS150R V3 pula akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.
Sekadar ramalan awal, Yamaha Y16ZR akan terus menjadi raja jalanan untuk pasaran Malaysia selepas ini, dan ianya bakal diekori rapat oleh model-model moped lain dalam kelasnya seperti model Honda Winner X, super moped Benelli dan juga SYM VF3i 185. Biar model mana pun yang anda pilih, semuanya mempunyai kelebihan masing-masing.
Sumber gambar dari : Yamaha Y16ZR VVA Community Malaysia & BLH Motor






















