PDRM terima motosikal peronda baharu Yamaha FJR1300P

Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini telah menerima motosikal peronda baharu Yamaha FJR1300P, berdasarkan maklumat daripada beberapa keping gambar model tersebut yang tersebar di dalam laman sosial baru-baru ini. Yamaha FJR1300P ialah versi untuk kegunaan pihak polis, yang diasaskan daripada model jalanan FJR1300.

Selain Malaysia, model tersebut turut digunakan oleh banyak pasukan polis lain di seluruh dunia. Yamaha FJR1300P menawarkan prestasi yang diperlukan oleh anggota polis, termasuk ciri-cirinya yang bersesuaian dengan tugas pihak polis. Paling penting ialah kelajuannya kerana model ini turut digunakan untuk mengiring para VIP negara.

Yamaha FJR1300P dikuasakan enjin dalam sesaran 1,298cc (Liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, Inline, 4-cylinder) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, dan pacuan akhirnya menggunakan aci pemacu. Jumlah janaan kuasa yang dihasilkan enjin tersebut mencapai 144.15hp @ 8,000rpm dengan tork puncak 138Nm @ 7,000rpm.

Kelajuan maksimum Yamaha FJR1300P dikatakan melebihi 200 km/j, manakala untuk perjalanan lebih jauh ianya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 25 liter. Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 810 – 830 mm, dengan berat 289 kg (curb weight). Tahniah kepada PDRM atas penerimaan motosikal peronda baharu.

Sumber : Two Wheels FB