Yamaha Sirius merupakan sebuah model kapcai yang masih lagi ditawarkan di pasaran Vietnam pada tahun 2021 ini, dalam tiga varian iaitu rim aloi dengan brek depan cakera, rim berjejari dengan brek depan cakera dan rim berjejari dengan brek depan dram. Juga terdapat versi Yamaha Sirius FI yang tampil dengan enjin Fuel Injection yang moden.
Bagi varian teratas dengan rim aloi dan brek depan cakera, ianya diberi nama sebagai Yamaha Sirius RC. Bagi gambar-gambar Yamaha Sirius RC yang dipaparkan di dalam artikel ini, ianya merupakan model keluaran tahun 2019, dan tersedia dalam tiga pilihan warna. Namun hanya dua pilihan warna sahaja yang berjaya dipaparkan pada kali ini.
Yamaha Sirius RC 2019 ini dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 110.3cc dengan sistem penyejukan udara, dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya ialah 9.0PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 9.0Nm @ 5,000rpm. Tangki bahan api yang melengkapinya mempunyai kapasiti maksimum 4.2 liter.
Berdiri di atas roda depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 70/90 – 17 dan 80/90 – 17, Yamaha Sirius RC 2019 ini mempunyai ketinggian tempat duduk hanya 770 mm. Berat basahnya pula ialah 96 kg. Penampilan sederhana model ini boleh dikatakan sesuai untuk pengguna yang mahukan sebuah kapcai sekadar untuk kegunaan harian.