Pada pertengahan bulan Januari yang lepas, Aprilia secara rasminya memperkenalkan model terbaharu Aprilia RSV4 2021. Namun pada ketika itu hanya sekeping gambar sisi sahaja yang didedahkan. Kini pada awal bulan Mac baru-baru ini, penampilan baharu model berkuasa tinggi itu didedahkan lebih terperinci melalui gambar-gambar terkini.
Aprilia RSV4 2021 masih mengekalkan gaya reka bentuk seperti generasi sebelumnya, tetapi kali ini ianya telah berevolusi kepada rekaan yang lebih segar dan kontemporari, mengikuti jejak langkah model Aprilia RS 660 2021. Rekaan lampu depannya ternyata berlainan, dan kini ianya dilengkapi winglet dua lapisan di bahagian dalam fairingnya.
Melalui rekaan baharu yang diperkenalkan, prestasi aerodinamik telah dipertingkatkan ke tahap yang signifikan. Corak tunggangan juga kini lebih ergonomik dan lebih selesa, peningkatan hasil daripada penggunaan tangki bahan api dan pelana baharu. Lengan ayun baharu yang lebih ringan dan lebih kuat menambahkan lagi prestasi pecutannya.
Selain itu menurut Aprilia, sistem kawalan elektrikal kini lebih berfungsi dan intuitif, dan paparan instrumen TFT baharu kini tampil lebih besar dan lengkap. Dengan kehadiran Marelli 11MP ECU dan sistem IMU six-axis terbaharu, pengurusan elektronik kini telah bertambah baik dengan kawalan sepenuhnya pada sistem pendikit Ride-by-Wire.
Sistem operasi APRC juga kini telah diperhalusi semula, manakala rangkaian sistem kawalan elektronik Aprilia yang eksklusif juga telah disempurnakan melalui pengenalan sistem multi-level engine brake control. Kini terdapat enam mod tunggangan, tiga untuk litar dan tiga untuk jalanan, dan penunggang hanya perlu membuat pilihan sahaja.
Aprilia RSV4 2021 kini dilengkapi enjin bersesaran 1,099cc, meningkat berbanding enjin terdahulu 1,077cc. Enjin patuh piawaian Euro 5 itu kini menawarkan kuasa maksimum 217hp @ 13,000rpm dengan tork puncak 125Nm @ 10,500rpm. Sistem ekzos baharu dan enjin yang kini lebih efektif antara yang membantu dalam pencapaian tersebut.
Pilihan warna tunggal yang ditawarkan untuk Aprilia RSV4 2021 terbaharu ialah Dark Losail, dan untuk Aprilia RSV4 Factory 2021, ianya boleh didapati dalam dua pilihan warna Aprilia Black dan Lava Red. Kedua-dua versi model tersebut dikuasakan enjin V4 1,099cc yang sama, namun mempunyai perbezaan dari segi kelengkapan standard.
Aprilia RSV4 Factory 2021 mempunyai kelebihan dan prestasi keseluruhan yang lebih baik apabila didatangkan rim aluminium jenis forged, sistem suspensi semi-aktif Öhlins Smart EC 2.0 dan kaliper brek Brembo Stylema. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat bilakah model terbaharu Aprilia RSV4 2021 ini akan dilancarkan.
Galeri : Aprilia RSV4 2021
Galeri : Aprilia RSV4 Factory 2021