Benelli VZ125i di pasaran Malaysia, harga dari RM 5,438.00

Untuk pasaran Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini telah rasmi melancarkan sebuah model skuter terbaharu WMoto ES125 2021, dengan harga jualan asas yang bermula dari RM 4,588.00 untuk varian Standard dan RM 4,888.00 untuk varian Special Edition (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Selain daripada model tersebut, MForce turut menawarkan sebuah lagi model skuter dalam segmen yang sama, iaitu Benelli VZ125i yang sebelum ini dilancarkan dalam bulan September 2018 yang lalu. Harga asas untuk model berkenaan bermula dari RM 5,438.00 untuk varian standard dan RM 5,738.00 untuk varian Special Edition (SE).

Benelli VZ125i tampil dengan reka bentuk yang kompak dan bergaya, serta dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri model dan praktikal. Antaranya ialah sistem lampu jenis LED sepenuhnya termasuk lampu LED DRL di bahagian depan, panel meter digital, ruang kompatmen di bahagian depan, ruang barangan yang luas di bawah pelana, pengecas USB dan sistem brek cakera depan 220 mm dengan kaliper dua piston yang mantap.

Selain itu model tersebut juga dilengkapi penyerap hentak belakang tunggal berjenama Kayaba, tayar tanpa tiub depan dan belakang yang masing-masing berukuran 70/90-14 dan 80/90-14, dan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.7 liter. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 735 mm, manakala berat keringnya hanya 101 kilogram.

Benelli VZ125i dikuasakan enjin bersesaran 124cc (1-cylinder, 4-stroke, SOHC, air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, seterusnya dipadankan transmisi automatik CVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin yang patuh piawaian Euro 3 itu mencapai angka 8.4hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.2Nm @ 6,000rpm.

Pilihan warna menarik untuk Benelli VZ125i ialah Matte Blue dan Chilli Red untuk varian standard, manakala varian SE hadir dalam pilihan warna Matte Black. Benelli VZ125i SE mempunyai kelebihan seperti tuil brek perlumbaan, suspensi monoshock dengan sub-tank, panel lantai dengan plat aluminium dan pelekat eksklusif Special Edition.