Aprilia RS 660 2021 dibuka tempahan, harga di pasaran UK bersamaan RM 54,815.21

Model terbaharu yang ditunggu-tunggu Aprilia RS 660 2021 kini secara rasminya dibuka tempahan untuk pasaran Eropah. Di pasaran UK, tempahan untuk model berkenaan akan bermula pada tarikh 12hb. Oktober 2020, dengan tanda harga sebanyak £ 10,150. Harga tersebut bersamaan RM 54,815.21 mengikut kadar tukaran semasa.

Aprilia RS 660 didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Acid Gold, Apex Black dan juga Lava Red. Enjinnya bersesaran 659cc (parallel twin-cylinder, 4-stroke, liquid cooled, DOHC, four valves per cylinder) dan dipadankan transmisi enam kelajuan dengan kelengkapan sistem Aprilia Quick Shift (AQS) up and down.

Jumlah keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin dengan piawaian Euro 5 itu mencapai 100hp @ 10,500rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 8,500rpm. Sistem elektronik yang melengkapi RS 660 termasuklah six-axis inertial platform dan pakej APRC yang merangkumi teknologi ATC (traction control), AWC (wheelie control), AEB (engine braking), AEM (engine maps) dan ACC (cruise control).

Aprilia RS 660 juga dibekalkan 5 mod tunggangan (Road and Track, 3 fixed and 2 customisable), sistem Ride-by-Wire, suspensi depan USD 41 mm Kayaba dan suspensi belakang monoshock boleh laras, sistem brek ABS daripada Brembo dengan sepasang cakera 320mm di bahagian depan dan cakera tunggal 220 mm di bahagian belakang, dan turut dilengkapi teknologi Multimap ABS Cornering untuk keselamatan maksimum.

Kluster instrumen digital Aprilia RS 660 didatangkan dengan paparan panel TFT berwarna bersama-sama sistem Aprilia MIA yang menawarkan sambungan kepada telefon pintar, dengan ciri arahan suara dan panggilan masuk atau keluar. Juga diperkenalkan ialah fungsi navigasi yang membolehkan penunggang melihat paparan arah secara terus di kluster instrumen melalui penetapan destinasi di telefon pintar.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Aprilia RS 660 2021 ini dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada hujung tahun ini. Jika menjadi kenyataan, ianya bermakna peminat motosikal tempatan akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk memiliki sebuah jentera sport premium dalam kelas pertengahan, pada harga yang berpatutan.

(Visited 4,311 times, 1 visits today)